Cari Blog Ini

Sabtu, 13 Oktober 2012

Pengembaraan - Pulau Sibu

The Sibu Archipielago

Pulau Sibu dari atas peta
Pulau Sibu adalah sebuah pulau yang letaknya di Laut China Selatan dan terbentuk melalui beberapa gugusan pulau kecil seperti Pulau Sibu Besar, Sibu Tengah, Sibu Kukus dan Sibu Hujung.

Terdapat beberapa resort di sekitar Pulau Sibu dan untuk destinasi pengembaraan kami kali ini, Sibu Island Resort dipilih sebagai lokasi yang bakal dinodai.

Sibu Island Resort dari atas udara
Menariknya resort ini, ianya terletak di pulau persendirian yang tidak berkongsi tapak dengan mana-mana resort lain justeru pengunjung akan mendapat akses bebas ke seluruh kawasan tanpa ada kerisauan.

73 kilometer dari Johor Bahru

Perjalanan ke Sibu Island Resort mengambil masa 2 jam dari Johor Bahru sebelum sampai ke Jeti Tanjung Leman. Jeti yang agak moden ini turut dilengkapi dengan fasiliti seperti tandas, surau selain letaknya restoran KFC untuk melayani karenah perut anda.

Untuk menuju ke Sibu Island Resort, pengunjung perlu menaiki feri dengan kos dikenakan adalah RM70 bagi dua hala dan masa yang di ambil adalah kira-kira 30 minit.

Jeti Pulau Sibu dari atas bot
Ketibaan kami di Sibu Island Resort disambut oleh beberapa orang penari dengan gaya ala-hawaii. Berpandukan pada alunan gitar kecil, beberapa gadis akan menyanyi sambil mengoyangkan piggul ke kanan dan kiri seiring dengan melodi.

Terlena dengan persembahan tadi, pengunjung kemudian disapa dengan segelas air buah bagi menghilangkan lelah setelah puas mencuci mata. Perjalanan diteruskan menuju ke lobi dengan rimbunan pohon pelbagai spesis beratur di kanan dan kiri selain kelibat merak dan rusa comel yang berkeliaran bebas di sana sini.

Pulau Sibu dan maskotnya
RM220 seorang untuk pakej 2 hari 1 malam

Daftar masuk berlangsung sekelip mata dan kami seterusnya dipandu menaiki buggy ke chalet yang telah di sewa. Terdapat lebih 100 chalet di sini yang berdiri dikelilingi suasana tropika yang menyentuh jiwa.

Jangan hairan jika menu rusa kerap menjadi hidangan
Kelembutan tilam yang dihidangkan membuatkan kami memilih untuk berehat sementara memulakan aktiviti. Terdapat pelbagai pilihan aktiviti di sini dan antara yang sempat disertai adalah snorkeling, memanah, jungle tracking serta beberapa permainan pantai yang lain.

Selepas makan malam pula kami memilih untuk merosakan suasana yang asalnya tenang dengan berkaraoke sepanjang malam. Semua aktiviti ini disediakan percuma dan termasuk dalam pakej justeru adalah satu kerugian jika tidak dicuba.

Peluang menjadi penternak karang berjaya

Sebelah pagi esoknya dimulakan dengan sesi sarapan pagi sebelum turun berpindah ke laut bagi aktiviti skuba di mana peserta akan diberikan seekor karang untuk diternak di tengah lautan sebagai kenangan. Sijil akan diberikan dan oleh kerana aktiviti ini tidak termasuk dalam pakej, RM30 perlu dilaburkan bagi yang berminat sahaja.

Penternak karang berdaftar
Salah satu kelebihan Sibu Island Resort adalah terdapat pelbagai pilihan pantai disekeliling pulau yang boleh dipilih mengikut selera anda. Selain itu aktiviti tambahan seperti permainan 'hour glass', memancing, 'island hoping' turut tersedia jujur menanti wang anda.

Kami menolak semua aktiviti yang melibatkan aliran keluar masuk wang tunai sebaliknya memilih untuk berjalan kaki bersahaja mengelilingi pulau sambil beramah mesra dengan sang kancil dan merak yang merupakan penduduk asal di sini.

Antara pantai yang terbentang luas
Kami juga diberi peluang untuk menanam benih pokok sebagi simbolik kepada sokongan terhadap kempen menghijaukan kembali bumi. Segala keriangan ini terhenti di sebelah tengah hari tatkala waktu kembali ke tanah air.
 
Antara benih yang sempat ditanam di Pulau Sibu
Secara keseluruhan Sibu Island Resort adalah sebuah destinasi rehat yang ideal memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan JB selain harganya yang masih logik. Jika dibandingkan dengan jirannya Pulau Tioman, Pulau Sibu mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian aktiviti selain lebih menenangkan sementara Tioman mendahului dari segi keindahan pantai, kejernihan air dan kecantikan dasar lautan.

Nilaian : 3/5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut