Eat, Love and Pray
Slogan yang dijolokkan kepada Bali, sebuah pulau yang luasnya dua kali kota Kuala Lumpur dengan kepadatan penduduk menyamai jumlah rakyat jelata Negeri Johor (kurang lebih 4 juta orang).
![]() |
Pulau Dewa-dewi, Bali |
Terkenal dengan masyarakat yang peramah serta status antara pulau pelancongan terbaik dunia meletakkan Bali sebagai lokasi pilihan percutian bersama pertama kami selepas bergelar suami isteri.
Tiket yang telah dibeli hampir setahun awal akhirnya ditebus tanggal 16 Jun 2012 jam 1500 petang bertempat di LCCT. Pengembaraan selama 6 hari ini menyaksikan beberapa lokasi menarik dijelajahi dan pahit manis yang ditempuhi kami akan cuba di kongsi di ruangan entri kali ini.
10 fakta perlu-tahu sebelum ke Bali:
1.) Kuta adalah kawasan utama di Bali yang mana terletaknya pantai ombak yang sesuai untuk riadah luncur air selain terletaknya barisan kelab malam/kedai yang ternama manakala Ubud pula adalah kawasan hijau yang tenang dengan deretan kedai seni serta sawah padi menarik terdampar di perkarangan jalan, keduanya harus dijajahi.
2.) Bagi mengimbangi hutang kredit kad anda, amalan berunding serta tawar menawar adalah kewajipan seawal proses jual beli bermula. Harga sebenar barangan biasanya sekitar 20-30% sahaja dari harga asal yang di buka.
3.) Rakyat Indonesia mendapat pelbagai faedah sejagat antaranya yuran caj masuk separuh harga bagi semua lokasi persiaran. Justeru kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Indonesia serta berketerampilan persis seorang rakyat Indonesia-Jakarta adalah digalakkan.
4.) 90% dari masyarakat Bali menganut agama Hindu Bali dan masalah moral jarang berlaku di sini akibat dari prinsip asas hidup yang taksub kepada karma selain berusaha mencari keseimbangan dan keharmonian hidup bagi membebaskan diri dari balasan dan seksaan dewa-dewi.
5.) Atas alasan kepercayaan dan prinsip agama juga, tiada bangunan komersial yang berdiri melebihi tinggi pokok kelapa. Justeru kesemua pusat peranginan dibina mendatar yang merangkumi skala kawasan yang luas dan lebar yang bakal membuatkan kosmetik yang ditempel cair seawal keluar dari pintu hotel.
6.) Terdapat pelbagai pilihan teksi di sekitar Bali tetapi yang paling boleh dipercayai adalah Blue Bird Taxy Company. Pastikan ejaan Blue Bird tertera jelas dan betul sebelum anda melangkah ke dalam teksi atau anda mungkin akan disembelih tanpa ada rasa sangsi.
7.) Banyak lokasi menarik di Bali yang letaknya berjauhan antara satu sama lain. Berjalan kaki akan mengambil masa berhari-hari manakala sistem keretapi masih belum terfikir dek akal mereka lagi, justeru menyewa kenderaan adalah disarankan selain penggunaan supir yang pastinya lebih menjimatkan peluh disamping menipiskan saku.
8.) Monyet tergolong dalam salah satu dewa yang diangkat tinggi masyarakat Bali. Potensi untuk melihat kelibat monyet di kaki jalan adalah adalah lebih tinggi dari kucing mahupun anjing. Sebelah kasut kepunyaan isteri telah bertukar milik kepada haiwan primitif ini akibat memandang rendah serta kurang berhati-hati.
Gambar mangsa |
9.) Agak banyak tetapi sukar untuk menjumpai makanan Halal di Bali. Hal ini kerana kebanyakannya rumah makan Halal ini teletak di celah lorongan atau di sudut jangkauan tertentu. Justeru rujukan awal pasti sangat membantu selain penggunaan aplikasi seperti zabihah dan foursquare pada masa kecemasan adalah perlu.
10.) Tukar duit anda di Malaysia terlebih dahulu. Kebanyakan kantor tukaran wang di Bali akan memaparkan harga yang sangat rendah tetapi hal sebenarnya adalah setiap pertukaran akan dikenakan caj. Pastikan peruntukan IDR 150ribu diketepikan bagi urusan cukai keluar dari Bali semasa di lapangan terbang nanti.
Entri seterusnya akan membawa anda menggomol Pulai Bali dengan lebih terperinci.
Sampai di sini untuk kali ini, bersambung lagi nanti..
Assalamualaikum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan