Cari Blog Ini

Ahad, 16 September 2012

Liburan - Gego 2012 (Bahagian Akhir)

Sambungan dari bahagian satu.



Kawasan tempat duduk berhampiran kawalan konsol bunyi dijadikan lokasi berkampung malam ini. Sejurus duduk khabar berita buruk disampaikan rakan yang telah berada di lokasi sepanjang hari; 26 Eleven dan Pelanggaran Akta Bunyi telahpun membuat persembahan di sebelah petang tadi. Kecewa dan sedih, bagaimanapun hidup harus diteruskan seperti yang diperjuangkan band seterusnya ini. 


Baju koyak dan berselipar. 

Redemption, pejuang keamanan dari Johor membuka tirai persembahan pertama pusingan kedua. Cerita yang disampaikan seperti biasa, berkisar pada corak hidup bersahaja, membuat pengunjung berdansa seolah dunia bukan lagi sementara.

'Bas No 13'

The Pinholes dari Temasek tampil di pentas bersama kaca mata selain alatan musik yang di bawa bersama. Musik Rock & Roll klasik persis Rolling Stone yang dibancuh bersama Beach Boys dimainkan kepada anak Malaya.

Statik, band yang baru berumur 4 tahun dan di barisi kuartet yang ratanya pemusik lama di arena musik indiprestasi Malaya muncul menggamit perasaan dan jiwa. Dengan alunan musik Pop yang laju dan padu menjadikan band ini bukan sahaja mudah didekati semua walhal sudah mendapat perhatian media perdana termasuk bakal tercalon untuk Muzik-muzik terbitan TV3.

Statik, Pop padat yang ketat
Setelah 4 jam di dalam kereta, band Couple sampai juga dan terus ke pentas tanpa membuang masa. Dendangan musik power-pop yang diberikan memang berkuasa dan masih terngiang di halwa telinga.


Kejutan untuk semua anak JOHOR apabila Hujan tampil tanpa dijangka lantas menggamitkan suasana huru-hara.


Bagaimanapun, tidak ada aksi membaling kerusi kerana hujan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk cecair dan bukan sekumpulan manusia.


Persembahan musik dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada upacara penyampaian hadiah yang disempurnakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahir Abdul Samad. Kredit kepada semua hadirin yang tidak berganjak dan memberi kerjasama baik lantas memberi impak positif kepada penganjur bagi kelansungan program di masa hadapan.


1Johor

Band masa-depan Johor.


Medinee muncul berdiri tegak di atas pentas. Mengambil nama sempena Medini (Kota Johor Lama), band dengan alunan musik kompleks ini membawa pengunjung naik ke angkasa sambil berehat menenangkan minda.


Seterusnya, Bittersweet mengambil alih hak mengguna pentas utama. Seperti diduga, ruang legar tak semena menjadi sesak dan padat, sepadat musik Rock-Inggeris ketat yang diperjuangkan band ini. Petikan gitar herri entah kenapa seperti merasuk minda lantas mencetus goyangan berirama antara semua yang ada.


Tiada kelibat Kucing Hitam
Plague Of Happiness, band kesayangan Johor bakal memunculkan diri. Aksi yang dinanti ini di celah dengan laungan lagu Bangsa Johor yang dikepalai oleh barisan JOHO komuniti. Idea unik ini menjadi tradisi dalam setiap pertunjukan seni anjuran komuniti yang sangat berpotensi ini.

Ikon musik indiprestasi Johor.

Tidak hadir ke soundcheck akibat kesibukan ditambah faktor usia yang semakin dimamah masa, Plague Of Happiness masih handal seperti dahulu kala. Setiap lagu disampai diselangkan dengan nasihat santai. Bunyi hujan seakan tenggelam dek ribuan pengunjung yang bertindak sebagai penyanyi dan penari latar tidak rasmi.

POH - Pemusik Otai Handal
'Kawan' menjadi lagu akhir di bawa band dari Pasir Gudang ini. Seperti dijangka 'Encore' dipohon oleh pengunjung dan seperti dijangka juga POH tidak akan membiarkan rayuan ini berlalu begitu sahaja. Kembali ke set untuk encore 'Viva La Punk', elektrik dengan tidak semena terpadam.

Alasan pihak penyata bunyi bahawa elektrik bukan dipadam sebaliknya diputuskan pihak berkuasa sangat tidak diterima akal waras lantas membuatkan pihak penganjur campur tangan. Ketengangan selama 10 minit akhirnya berpihak kepada pasukan penyata bunyi.

Sedar akan kenikmatan dunia hanya sementara, penunjung mula bersurai dengan satu kehampaan tetapi seribu kepuasan dan kenangan.

Kejayaan program ini membuktikan status Johor selaku bandar-rock berkaliber di Tanah Melayu masih relevan.

Semoga berjumpa lagi tahun hadapan, insyaAllah jika diizikan tuhan.

Sekadar hiasan - Keratan akhbar Sinar Harian, Rabu 12 September 2012



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut