Cari Blog Ini

Isnin, 23 Februari 2015

Chiang Mai, Thailand - Siri Dua

Assalamualaikum,

Sambungan dari Siri Satu

Berbeza dengan hari pertama, hari kedua pengembaraan kami adalah dengan menggunakan khidmat supir justeru pengembaraan bertiga kami di Chiang Mai kini menjadi berempat.




Khidmat supir (private guide) yang telah ditempah sebulan awal ini adalah dari Mundo Thailand Tours setelah merujuk rating yang tinggi diberikan pengguna melalui laman sesawang rujukan rasmi kami iaitu Tripadvisor.

Hari kedua,

Hari kedua di Chiang Mai dimulakan dengan sarapan pagi di hotel. Dari puluhan menu disediakan, kami hanya memilih roti dan salad memandangkan masih awas dengan status halal yang memang jelas tidak dinyatakan.


Gambar dirakam oleh petugas hotel yang mesra tahap dewa

Apachit atau nama samaran Kid (pemandu arah kami) telah bersiap siaga di ruang lobi hotel kami seawal jam 8 pagi. Selesainya perut dijamu roti, kami bergegas menuju ke lobi hotel untuk bertemu Kid bagi menyempurnakan misi melawat 2 destinasi utama iaitu Doi Suthep dan Tiger Kingdom. Keduanya terletak di kawasan Mae Ham dan menelan kos 2400bath (RM260) untuk perjalan pergi dan pulang (private guide) tidak termasuk tiket masuk ke lokasi dalam tempoh masa 5jam (setengah hari).

Doi Suthep (Gunung Suthep),

Sebuah kawasan pergunungan yang dingin terletak 15km dari bandar Chiang Mai dan menempatkan sebuah Biara Buddha di atas puncak yang dibina pada tahun 1383 dan masih berfungsi sehingga kini. Pengunjung boleh memilih sama ada hendak menggunakan kaki menaiki 300 anak tangga mistik Naga dari drop off point  ke kuil di puncak (masuk percuma) atau menggunakan cable car (atau lif lebih tepat) yang disediakan dengan dikenakan yuran 30bath (RM4).

Ini adalah Kid, pemimpin pengembaraan kami untuk hari kedua di Chiang Mai
Pemandangan dari puncak Doi Suthep yang memandang ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai
Anda akan disambut oleh kuil ini sekeluarnya dari lif
Ritual upacara sembahyang oleh penganut Budhha di puncak Doi Suthep
Puncak menara keemasan (golden spire) yang menjadi simbolik kepada Doi Suthep
Tidak kepastian fungsi sebenar gong ini di sini. Mungkin seruan untuk sembahyang, mungkin
Naga adalah binatang suci yang ditugas untuk mengawal kawasan kuil ini
Ukiran antik dan mistik menyelubungi kuil ini
Memilih untuk menguji kemantapan stamina dengan menuruni 300 anak tangga bersama si kenit Aira di dada
Bergambar bersama dewa Naga di anak tangga pertama
Deretan kedai cenderahati disepanjang perjalanan dari kawasan parkir (drop off point) menuju ke puncak Doi Suthep

Kurang lebih 2 jam di Doi Suthep kami bergerak ke lokasi seterusnya iaitu Tiger Kingdom yang terletak 30 minit perjalanan berkenderaan dari lokasi tadi.

Tiger Kingdom,

Bersemuka, menyentuh dan bermain dengan sekawan harimau tanpa sebarang sempadan, peluang yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup. Harimau di sini tidak diberikan dadah malah kandang yang menempatkan mereka dijaga begitu rapi menyerupai habitat asalnya.

Lokasinya yang terletak di Mae Rim, 10km dari bandar Chiang Mai ini menempatkan puluhan harimau yang sedia menanti ketibaan anda dengan garangnya girangnya. Yuran masuk 420bath dikenakan untuk seorang termasuk pelindungan insuran sementara.

Adakah tempat ini selamat? Ia, sehingga kini setelah berpuluh tahun dan berjuta pengunjung tiba, belum ada peristiwa buruk yang berlaku di taman harimau ini...belum lagi. sehingga ini.

Tiger Kingdom! 
Reaksi aira yang tiada harga.
Dari yang kecil sehingga dewasa, pilihan ditangan anda.
Pastikan flash dimatikan sebelum mula merakam gambar

Jangan lupa untuk bawa kamera dan minta bantuan petugas di dalam kandang untuk mengambil gambar anda secara percuma. Kenangan selama beberapa minit bersama haiwan pemangsa ini mungkin boleh kekal selama berpuluh tahun selagi akal masih berfungsi.

Khidmat supir hari kedua tamat jam 2 petang setelah 6 jam berjalan. Setibanya kembali di hotel kami menjamu perut di restoran di halal yang terletak hanya beberapa langkah dari hotel. Baki masa yang ada untuk hari kedua ini dipenuhkan dengan berjalan kaki menikmati keindahan Chiang Mai sambil mencari cenderahati untuk famili.

Nantikan entri seterusnya untuk episod dan hari ke tiga pengembaraan di Chiang Mai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut