Sambungan dari bahagian satu.
Berikut adalah catatan lokasi sepanjang 6 hari pengembaraan kami di Bali.
Hari Pertama,
Pantai Kuta
Yuran Masuk : Percuma
Syurga peluncur air |
Dataran pantai sejauh berbelas kilometer dengan bertiraikan ombak tinggi ini kurang sesuai untuk bermandi manda sebaliknya menjadi syurga kepada peminat sukan luncur air dunia. Disarankan datang pada jam 5 pagi atau 6 petang untuk menyambut ketibaan dan pemergian sang suria.
Nilaian : 3/5
Kuta Market
Yuran Masuk : Percuma
Deretan kedai berjenema serta rumah makan yang tersusun bertabirkan Pantai Kuta. Quicksilver, Ripcurl dan segala macam fesyen yang ada kaitan dengan pantai beratur menyambut kehadiran anda. Harga yang ditawarkan juga berpatutan jika dibandingkan dengan Malaysia.
Hari Kedua,
Krisna Bali Sunset Road
Yuran Masuk : Percuma
Tidak ada tempat lain yang boleh memberi keriangan bagi poket anda seperti di Gedung Krisna Bali. Harga ditawarkan sangat berpatutan malah setiap pembelian juga boleh terus dibagasikan lantas memudahkan proses membawa pulang ke tanah air. Terdapat lebih 3 Gedung Krisna di Bali dan yang paling hampir dengan Lapangan Terbang Denpasar adalah di sini.
Nilaian : 5/5
Jalan Legian
Yuran Masuk : Percuma
Semoga berehat dengan lena |
Jalan utama di Bali yang menghubungkan Kuta dan Seminyak. Berjalan kaki dari Kuta Market mengambil masa 10 minit untuk sampai ke permulaan Jalan Legian dan bagi yang terus memilih kaki dari teksi masa yang diambil untuk sampai ke Seminyak hanya setengah hari. Terletak juga Monumen Bali di mana sebuah arca besar di bina bagi mengingati peristiwa korban peledakan bom tanggal 2002 lalu selain deretan kedai dan rumah makan terdampar di kanan dan kiri.
Nilaian : 3/5
Jalan Seminyak
Yuran Masuk : Percuma
Dikenali sebagai Kuta yang lebih moden, Jalan Seminyak menawarkan deretan kedai dan rumah makan yang lebih gah dan memenuhi selera kad kredit anda. Pantai Seminyak juga menghidangkan beberapa kelab liburan malam eksklusif antaranya Kudeta, The Breeze yang pasti bakal menjadikan malam sentiasa kelihatan muda.
Nilaian : 4/5
Hari Ketiga,
Pantai Padang-padang
Yuran Masuk : Percuma
Eat, Love & Pray |
Pernah dijolok sebagai Naked Beach atau pantai bogel dalam bahasa kasarnya. Dengan pasir putih yang terbentang di atas air jernih diiringi alunan sepoi bunyi ombak disamping hilai tawa manja anak gadis bermain di gigi air sudah cukup merobek jiwa dan raga si teruna. Tidak sesuai untuk keluarga kerana kebanyakan yang hadir di sini berpasangan, dan bukan semuanya lurus ada juga yang songsang, jaga-jaga.
Nilaian 3/5
Pura Uluwatu
Yuran Masuk : IDR 20 000
Gabungan tebing-tebing bersatu |
Terletak disebuah bukit yang mana tebingnya terduduk setia sebuah kuil hindu lama yang sememangnya kelihatan indah di kaca mata. Yuran masuk IDR20 ribu dan anda akan disambut oleh ratusan monyet yang bakal melayan anda seperti kalian sudah berkawan lama. Bagaimanapun, jangan terpedaya dengan kemesraan ditonjolkan haiwan primitif ini, simpan dengan rapi barangan berharga agar tidak menjadi mangsa ragut mereka!
Nilaian 4/5
Jimbaran Bay
Yuran Masuk : Percuma
Berderet rumah makan yang letaknya di atas butiran pasir pantai membarisi sepanjang Pantai Jimbaran. Antara ratusan yang ada, Lia's Cafe dijadiakan saranan di atas tawaran harga makanan dan tahap kesedapan yang logik dek akal. Pantai yang ratanya tempat turun dan naiknya nelayan di Bali ini sangat sesuai untuk dijadikan lokasi romantis makan malam bersama si isteri sambil mengucap selamat tinggal kepada kelibat si matahari.
Nilaian 4/5
Hari Keempat,
Jalan Raya Ubud - Monkey Forest
Yuran Masuk : Percuma
Bali sentiasa menjadi Bali |
Setiap yang bernyawa mempunyai citarasa yang berbeza, dan kami tanpa rasa sangsi memilih Ubud selaku lokasi yang paling luar biasa. Sebuah pekan seni yang dikelilingi sawah padi serta dibarisi dereten kedai berkualiti dan galeri seni eksklusif yang pasti memikat mata dan hati.
Nilaian 5/5
Ubud Market
Yuran Masuk : Percuma
Umpama Sentral Market di Kuala Lumpur bezanya semua yang dijual di sini adalah produk tempatan yang pelbagai pilihan dan di hasilkan secara manual menggunakan tangan. Tawar menawar berlangsung di sana sini, harga murah tak terjangkau akal juga boleh didapati, terpulang kepada kebijaksanaan diri.
Nilaian 4/5
Hari Kelima,
Pacung
Yuran Masuk : Percuma
Jamuan mata |
Antara kawasan yang tercantik di Bali dan menjadi lokasi persinggahan wajib bagi mereka yang ingin ke Lake Bratan atau Ulun Danu. Terdapat sebuah rumah makan bufet halal di sini yang dibina khas untuk mengoyakkan poket anda, hati-hati.
Nilaian 4/5
Ulun Danu, Lake Bratan
Yuran Masuk : IDR 20 000
Pura apungan yang mendinginkan |
Sebuah taman bersih dan cantik yang bersarang di celahan gunung berhampiran Bedugul. Dengan tahap kedinginan seolah Cameron Highland, kawasan ini terkenal dengan sebuah kuil yang terapung di atas tasik. Terdapat beberapa warung makan halal di sekitar kawasan ini termasuk sebuah masjid.
Nilaian 4/5
Jatiluwih
Yuran Masuk : IDR 15 000
Jika Cameron Highland berlatar belakangkan kebun teh, Jatiluwih pula menghidangkan sawah padi sebagai jamuan mata-mata yang hadir. Oleh kerana padi ditanam mengikut musim, masa yang paling sesuai untuk melawat Jatiluwih adalah pada bulan Julai. Kehadiran kami pada bulan Jun sedikit memberi kekecewaan kerana kebanyakan padi di Bali sudah dituai.
Nilaian 4/5
Tanah Lot
Yuran Masuk : IDR 30 000
Taman di atas air |
Tidak sah kalau ke Bali jika tidak ke sini. Melihat kuil yang letaknya di atas gigi air sambil memerhati lewatnya pergi matahari umpama berada di syurga duniawi. Luangkan lebih masa untuk melihat tarian seni Bali (Kecak Dance) yang dipersembahkan secara langsung selepas terbenamnya matahari.
Nilaian 5/5
Hari Keenam,
Pulang ke tanah air dengan berat hati serta tekad akan kembali lagi suatu hari nanti..
Entri ini akan bersambung lagi dengan kupasan lebih terhadap rumah makan halal dan lokasi bersarang di Bali..
Assalamualaikum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan