Cari Blog Ini

Sabtu, 29 September 2012

Pengembaraan - Bali (Bahagian Dua)

Sambungan dari bahagian satu.

Berikut adalah catatan lokasi sepanjang 6 hari pengembaraan kami di Bali.

Hari Pertama,

Pantai Kuta
Yuran Masuk : Percuma

Syurga peluncur air
Dataran pantai sejauh berbelas kilometer dengan bertiraikan ombak tinggi ini kurang sesuai untuk bermandi manda sebaliknya menjadi syurga kepada peminat sukan luncur air dunia. Disarankan datang pada jam 5 pagi atau 6 petang untuk menyambut ketibaan dan pemergian sang suria.
Nilaian : 3/5

Kuta Market
Yuran Masuk : Percuma

Deretan kedai berjenema serta rumah makan yang tersusun bertabirkan Pantai Kuta. Quicksilver, Ripcurl dan segala macam fesyen yang ada kaitan dengan pantai beratur menyambut kehadiran anda. Harga yang ditawarkan juga berpatutan jika dibandingkan dengan Malaysia.
Nilaian : 4/5

Sabtu, 22 September 2012

Pengembaraan - Bali (Bahagian Satu)

Eat, Love and Pray

Slogan yang dijolokkan kepada Bali, sebuah pulau yang luasnya dua kali kota Kuala Lumpur dengan kepadatan penduduk menyamai jumlah rakyat jelata Negeri Johor (kurang lebih 4 juta orang).

Pulau Dewa-dewi, Bali

Terkenal dengan masyarakat yang peramah serta status antara pulau pelancongan terbaik dunia meletakkan Bali sebagai lokasi pilihan percutian bersama pertama kami selepas bergelar suami isteri. 

Tiket yang telah dibeli hampir setahun awal akhirnya ditebus tanggal 16 Jun 2012 jam 1500 petang bertempat di LCCT. Pengembaraan selama 6 hari ini menyaksikan beberapa lokasi menarik dijelajahi dan pahit manis yang ditempuhi kami akan cuba di kongsi di ruangan entri kali ini.

10 fakta perlu-tahu sebelum ke Bali:

1.) Kuta adalah kawasan utama di Bali yang mana terletaknya pantai ombak yang sesuai untuk riadah luncur air selain terletaknya barisan kelab malam/kedai yang ternama manakala Ubud pula adalah kawasan hijau yang tenang dengan deretan kedai seni serta sawah padi menarik terdampar di perkarangan jalan, keduanya harus dijajahi.

Ahad, 16 September 2012

Liburan - Gego 2012 (Bahagian Akhir)

Sambungan dari bahagian satu.



Kawasan tempat duduk berhampiran kawalan konsol bunyi dijadikan lokasi berkampung malam ini. Sejurus duduk khabar berita buruk disampaikan rakan yang telah berada di lokasi sepanjang hari; 26 Eleven dan Pelanggaran Akta Bunyi telahpun membuat persembahan di sebelah petang tadi. Kecewa dan sedih, bagaimanapun hidup harus diteruskan seperti yang diperjuangkan band seterusnya ini. 


Baju koyak dan berselipar. 

Redemption, pejuang keamanan dari Johor membuka tirai persembahan pertama pusingan kedua. Cerita yang disampaikan seperti biasa, berkisar pada corak hidup bersahaja, membuat pengunjung berdansa seolah dunia bukan lagi sementara.

'Bas No 13'

Khamis, 13 September 2012

Liburan - Gego 2012 (Bahagian Satu)

'Cara menyebut #gego2012 bukan gey-go tau..its GE (gemilang) Go (gore)', petikan dari Pencicit JOHO

Pukul 1945 (Waktu Malaysia) - Tiada parkir khas di sediakan lantas ruang kosong berhampiran Pejabat Pos Besar Johor (PO) dijadikan tumpangan dengan harapan tidak ada tangan rajin yang datang menyaman. Melihat keadaan bukit yang agak curam, dakian dilakukan dengan perlahan dan tenang sehinganya tiba ke pintu masuk Bukit Timbalan.

‘Pintu masuk di sebelah depan, mohon kalian untuk berjalan kaki mengikut arah ini’

Kata pegawai RELA bertugas disusuri dengan isyarat berhenti.

‘Maaf, saya media dan datang atas jemputan’

Senyuman dikembalikan, lantas urusetia berhampiran dipanggil bagi mengiringi kami (saya dan isteri) ke suatu lokasi yang tak pasti bagi prosesi mendapatkan pas media disusuli wawancara ringkas, harap kami dalam hati.

Tersergam megah sepanjang perjalanan, sebuah bangunan lama yang dibina sirka 1938 oleh Almarhum Sultan Ismail. Dahulunya pernah menjadi mercu tertinggi di JOHOR, bangunan dengan corak citarasa Inggeris ini juga menjadi kubu kuat tatkala zaman perang sebelum di ubah suai menjadi pusat pentadbiran resmi kerajaan.


Sabtu, 8 September 2012

Pengembaraan - Pengenalan

Jangan melancong, sebaiknya pergilah mengembara.

Sebahagian dari masa dan kewangan telah didedikasikan untuk aktiviti ini. Sasaran sekurangnya 3 lokasi dituju sepanjang tahun di lihat sukar dicapai lagi. Terutama selepas pertambahan komitmen akibat diberi pengiktirafan gelaran berstatus Suami. Walau begitu, syukur kehadrat tuhan dikurniakan Isteri yang memahami dan sanggup berkongsi hobi.

Lokasi yang pernah dikunjungi?

Telalu banyak, tetapi semua di alam fantasi. Yang telah direaliti setakat ini hanya Singapura, Selatan Thailand dan Bali. Serta beberapa lagi buah Negeri di Borneo dan Semenanjung tanah air.

Agenda seterusnya.

Setelah mendapat perkenan Isteri, Seoul Korea adalah lokasi seterusnya yang akan dikunjungi. Seperti pengembaraan sebelum ini, tidak banyak kos yang perlu ditanggungi jika 2 hukum mengembara ini terus diturut; tempahan awal dan membuat rujukan terperinci (aplikasi 'Tripadvisor' adalah yang paling disarankan).

Untuk maklumat lanjut tentang persiapan mengembara boleh rujuk di sini.

Selasa, 4 September 2012

Tanggal Empat September Dua Ribu Dua Belas

Di sebuah pejabat swasta terletak anggaran 15km radius dari Pusat Bandar Johor Bahru.

Akibat tekanan bosan dan setelah diberi pertimbangan maka terciptalah sebuah blog yang entah dari mana datang idealogi namanya cuma yang pasti berasal dari gabungan perisian sebuah komputer DELL Optiplex 380 dengan jaringan TM Net serta hasil tekanan tepat jejari Ahmad Aswad Ashar pada jam 5.52pm (waktu Malaysia). Ini adalah blog pertama kendalian penuh anak Johor ini setelah genap 9346 hari, 15 jam, 30 minit dipinjamkan ke muka bumi.

Untuk apa blog ini?

Entah, apa yang akan dicoret masih belum menjadi kepastian tetapi niat di hati yang menjadi keutamaan adalah kepuasan. Kepuasan dalam menulis dan berkongsi atau erti kata lain, peduli. Dilahirkan dengan sifat ingin tahu yang tinggi hinggakan semua perkara hendak diteliti menjadikan jari ini terasa rajin untuk mengetuk papan kekunci lantas mengabadi semua yang terlintas di hati untuk tontotan mereka yang sudi.


Pengikut